Friday, March 8, 2013

0

5 Cara Menguatkan Sabar Ketika Ditimpa Susah

  • Friday, March 8, 2013
  • sam
  • Share


  • KITA diminta sentiasa bersabar bila ditimpa ujian hidup. Ujian ini ialah kesusahan yang berbentuk ringan dan ada yang berat untuk dipikul.


    Semua manusia akan diuji dengan kesusahan [setiap orang dengan bentuk ujian tersendiri] sepanjang kehidupan mereka. Baginda Nabi Muhammad SAW juga diuji sedangkan baginda maksum iaitu bersih dari dosa, inikan pula kita yang banyak dosa.
    Kita diminta sabar kerana sabar dalam mengharungi ujian itu memantapkan iman. Meskipun ujian dapat memantapkan iman, kita tidak boleh dan ditegah meminta ujian datang kepada kita. Malah kita diminta memohon kepada Allah agar dijauhkan daripada bencana dan musibah.
    Kita diminta untuk mendoakan perkara baik namun bila perkara sebaliknya yang datang, kita diminta bersabar.
    Sabar bukanlah semudah berkata, “saya bersabar dengan ujian ini”. Sabar adalah sama seperti suruhan agama yang lain, iaitu kita mesti berusaha dengan cara-cara tertentu untuk mendapatkannya dan seterusnya menjadi sebahagian dari diri kita.
    Contohnya, kita diminta untuk khusyuk dalam solat. Namun khusyuk tidak hadir begitu sahaja sebaik kita solat. Kita perlu usahakan dengan cara, mengambil wudhuk dengan sempurna, mata terus menerus memandang tempat sujud, gunakan sejadah satu warna yang lembut, jangan baca bacaan dalam solat secara laju, betulkan tajwid dan sebagainya.
    Begitu juga dengan sabar. Imam Ghazali menyenaraikan 5 perkara yang bila kita selalu ingatkan 5 perkara ini ketika dalam kesusahan, insya-Allah kita dapat menempuh setiap ujian dengan kesabaran yang jitu.
    Untuk menguatkan sabar ingat 5 perkara ini
    Perkara#1
    Ingatlah, sekalipun ujian yang menimpa kita itu dirasakan berat maka berat lagi ujian yang menimpa orang lain. Ada orang yang ditimpa ujian lebih teruk dari kita.
    Contohnya bila kita kesulitan wang, bersyukurlah kerana kita mungkin masih ada kerja. Orang lain mungkin tiada wang dan tiada kerja! Kita patut sabar dan bersyukur kerana kita tidak ditimpa ujian yang lebih teruk.
    Perkara# 2
    Kita patut sedar ujian yang datang mungkin kerana kita kurang taat pada agama. Kita patut sabar dan bersyukur kerana Allah telah memberi ‘ingatan’ du dunia lagi. Kalau Allah biarkan sahaja kita hidup dalam kelalaian, kita akan celaka di akhirat nanti.
    Dengan ujian yang menjadi peringatan ini, kita akan sedar dan insaf untuk tidak mengabaikan suruhan Allah dan rasul-Nya.
    Perkara# 3
    Apa yang ditakuti ialah ujian susah di dunia ini berterusan susah hingga ke akhirat kerana dosa-dosa kita. Jadi bersabarlah. Dengan sabar itu, pahala kita berganda dan dosa-dosa kecil kita terhapus. Ini dapat menyelamatkan kita di akhirat nanti.
    Perkara# 4
    Ujian ini sudah tercatat sejak azali lagi. Sedih, gelisah atau marah sekalipun tidak dapat menghalang ujian daripada menimpa kita. Kita hanya hamba yang tidak tahu apa maksud ujian yang diberikan oleh Allah ini. Namun percayalah, setiap apa yang Allah takdirkan ada kebaikannya kepada manusia. Hanya kita manusia yang tidak tahu.
    Jadi bersabarlah dengan selalu berdoa agar ujian ini akan berakhir.
    Perkara# 5
    Kita patut tahu, pahala amalan yang kita buat semasa ditimpa musibah adalah lebih besar berbanding pada waktu kita senang dan lapang. Pahala solat ketika kita sakit adalah lebih besar daripada pahala solat ketika kita sihat. Pahala sedekah yang kita buat ketika kita sendiri kekurangan wang adalah amat besar berbanding pahala sedekah orang kaya yang banyak duit.
    Kita bukan sahaja dapat pahala bersabar, tapi berganda pahala dari setiap amalan yang kita buat ketika ditimpa susah.
    Inilah 5 perkara yang ‘wajib’ kita ingat bila kesusahan menjadi ujian yang perlu kita tanggung. Mudah-mudahan dapat menambah tahap kesabaran kita.
    sumber : http://ahmadyani.com/5-cara-menguatkan-sabar-ketika-ditimpa-susah/

    0 Responses to “5 Cara Menguatkan Sabar Ketika Ditimpa Susah”

    Post a Comment

    Subscribe